Saturday, November 21, 2009

Program Berkhatan Beramai-Ramai 2009

21 NOVEMBER 2009 (Seremban) - SYABAS dan tahniah buat Saudara Syamsul Amri bin Hj Ismail (Pengerusi MPP) dan keseluruhan Jawatankuasa Majlis Permuafakatan Penduduk (MPP) Pangsapuri Rakyat Seri Perdana (PRSP) di atas kejayaan menganjurkan program berkhatan beramai-ramai. Apa yang menakjubkan adalah, MPP telah pun berjaya menganjurkan program ini buat kali kelima berturut-turut sejak kali pertama menganjurkannya pada tahun 2005. Program ini telah berlangsung bermula jam 8.00 pagi pada 21 November 2009.

Saudara Syamsul berkata, “Program ini tidak akan berjaya tanpa sokongan padu daripada keseluruhan jawatankuasa MPP dan lebih penting lagi penyertaan penduduk bagi menghidupkan program tahunan ini”, beliau berkata demikian ketika ditanya tentang resipi kejayaan program ini. Beliau menambah “Jika setiap organisasi memiliki KPI, MPP juga memiliki KPI nya yang tersendiri iaitu memastikan bahawa setiap bulan sekurang-kurangnya mesti ada 1 program yang dijalankan. Kita mahu melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan MPP akan terus dekat di hati masyarakat di sini”.

Beliau juga memuji kerjasama yang diberikan oleh keseluruhan Jawatankuasa UMNO Cawangan PRSP Paroi dan juga daripada Jawatankuasa Surau An-Nur PRSP Paroi. Melalui kerjasama ini program yang direncanakan ini dapat dilangsungkan dengan suasana yang cukup meriah.

Program ini turut mendapat bantuan peralatan daripada pihak Majlis Perbandaran Seremban (MPS) selaku bapa angkat persatuan, peralatan siaraya PA System daripada Jabatan Penerangan Seremban dan bantuan simbolik perasmian (pancutan air) daripada Balai BOMBA Senawang.

Program buat tahun kelima ini telah dirasmikan oleh Tuan Hj Ismail bin Hj Ahmad, Pengarah Jabatan Pengindahan & Senitaman MPS selaku wakil kepada Dato Yang DiPertua MPS yang tidak dapat hadir disebabkan urusan lain yang tidak dapat dielakkan. Program ini turut dihadiri oleh Saudara Daud bin Ahmad (Pegawai Perancang Bandar, MPS) dan juga Tuan Hj Shamsudin Awaludin (Imam Masjid Paroi).

Program dimulakan seawal jam 8.00 pagi dengan perarakan tetamu kehormat bersama-sama anak-anak yang dikhatankan. Perarakan diiringi dengan paluan kompang oleh Kumpulan Kompang Belia PRSP Paroi. Mereka berarak dari pintu masuk PRSP Paroi menuju ke Dewan PRSP Paroi. Setibanya di perkarangan Dewan, tetamu kehormat serta orang ramai yang hadir mengambil tempat duduk dan program pun bermula.

Program dimulakan pada jam 8.15 pagi dengan bacaan doa oleh Imam Masjid Paroi. Diikuti pada jam 8.30 pagi ucapan alu-aluan oleh Saudara Syamsul selaku Pengerusi MPP. Pada jam 8.45 pagi Tuan Hj Ismail Ahmad diminta menyampaikan ucapan dan seterusnya pemrasmikan programBerkhatan Beramai-Ramai. Pada jam 9.00 pagi Tuan Hj Ismail diminta menyampaikan cenderahati kepada anak-anak yang dikhatankan, kepada Tuan Imam, Tetamu Kehormat, wakil Jabatan Penerangan, dan tidak lupa kepada Balai BOMBA Senawang.

Pada jam 9.15 pagi Tuan Hj Ismail telah menyempurnakan upacara simbolik perasmian dengan memutarkan paip bagi membolehkan anak-anak yang bakal dikhatankan disembur dengan air sehingga kesejukan. Pada jam 9.30 pagi tetamu kehormat dan orang ramai menikmati jamuan dan seterusnya anak-anak mula dikhatankan pada jam 10.00 pagi.

Demikianlah program yang telah berlangsung meriah ini, dan berikut dikongsikan bersama-sama kesemua gambar-gambar yang telah sempat dirakamkan untuk tatapan semua.

Sekelian Jawatankuasa berkumpul di Dewan PRSP Paroi pada malam sebelum program bermula

Berkumpul setelah penat bertungkus-lumus memasak dan menghias khemah serta pentas utama
Dalam proses menyiapkan pulut kuning dan jamuan-jamuan untuk tetamu kehormat dan orang ramai
AJK-AJK Wanita yang kepenatan
T-Shirt rasmi MPP yang telah disediakan oleh Pengerusi MPP untuk dipakai oleh sekelian JK MPP semasa hari program
Suasana khemah yang telah siap dikemas dan dihias dengan bunga-bungaan
Sebahagian daripada ahli belia kompang duduk di bawah khemah setelah selesai berlatih
Bunga-bunga digunakan untuk menghias perkarangan Dewan PRSP Paroi
Perkarangan Dewan telah bersedia untuk digunakan untuk program pada keesokan pagi
.
HARI PROGRAM
21 NOVEMBER 2009
Pasukan kompang sudah bersedia untuk bermain kompang
Di antara anak-anak yang bakal dikhatankan yang telah tiba awal sambil menantikan rakan-rakan lain
Wajah-wajah yang tetap ceria walaupun bakal dikhatankan sebentar lagi
Pengerusi dan AJK MPP yaang sedang menanti ketibaan tetamu kehormat
Saudara Daud yang juga telah tiba awal ke program ini









Disediakan Oleh : EDITOR BLOG
Gambar Dirakamkan Oleh : Saudara Azley Ghafar

No comments: