Thursday, December 1, 2011

Majlis Meraikan Kepulangan Mak Long dari Mekah

1 Disember 2011, Seremban : Satu majlis meraikan kepulangan Pn Samsiah Rais (Mak Long) yang merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa KRT Pangsapuri Rakyat Seri Perdana telah diadakan di dalam satu majlis makan malam yang berlangsung di Star Fresh Agro Park, Jalan Kuala Pilah. Majlis makan malam ini bagi meraikan kepulangan Mak Long daripada mengerjakan Haji di Tanah Suci Mekah. Mak Long tiba pada jam 8.25 malam pada 24 November 2011 yang lalu di KLIA bersama-sama dengan Pn Hasnah Rais iaitu adik beliau yang juga merupakan ibu kepada En Syamsul Amri bin Hj Ismail (Pengerusi KRT PRSP Paroi).

Majlis makan malam ini juga diadakan bagi memperkenalkan isteri salah seorang AJK iaitu Faizol yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan pada 20 November 2011 yang lalu. En Syamsul menyatakan bahawa "Makan malam ini juga diadakan bagi meraikan sekelian AJK yang telah bekerja keras selama beberapa tahun ini bagi melaksanakan pelbagai aktiviti demi menaikkan nama KRT PRSP Paroi. Dengan majlis ini, walaupun sederhana tetapi diharapkan mampu meniupkan semangat di dalam hati para ahli Jawatankuasa agar terus berkhidmat dengan lebih gigih dan bersungguh-sungguh demi nama baik persatuan", beliau berkata dengan sambutan dan respon yang baik ini, KRT PRSP Paroi akan berusaha memastikan agar majlis ini dapat dijadikan sebagai acara tahunan.

Berikut dikongsikan gambar-gambar semasa majlis tersebut berlangsung.

Ketibaan para AJK di tempat jamuanKebanyakan AJK baru pertama kali datang menjamu selera di siniMasing-masing mula mengambil tempat dudukBangah Kamsani duduk di sebelah En SyamsulEn Syamsul (Pengerusi) duduk di sebelah En Nazaruddin (Setiausaha)Dari kiri; Pn Hasnah (Ibu En Syamsul) dan Pn Samsiah (Mak Long)En Syamsul menyampaikan ucapan alu-aluanMak Long menyampaikan ucapan terima kasih sambil berkongsi pengalaman di Tanah SuciPelbagai nasihat dikongsi bersamaSebaik ucapan selesai, masing-masing menjamu selera sambil bertukar ceritaAda juga yang tidak habis-habis bergurau sendaSempat bergambar merakamkan tanda kenangan Pn Zarina Khalid memberikan satu 'pose' untuk dirakamkan

Disediakan oleh : EDITOR

Thursday, September 8, 2011

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1432 Hijrah - Pengerusi MPP

Assalamualaikum WBT, Salam Sejahtera & Salam 1Malaysia.
Alhamdulillah sekali lagi pada tahun ini kita berpeluang sekali lagi bersama-sama menyambut Syawal. Saya sendiri merasakan seolah-olah baru semalam sahaja saya menyambut hari lebaran semasa saya masih bersekolah rendah. Dahulunya, kalau beraya di rumah jiran-jiran (secara berkumpulan), rasa seronok sangat. Boleh kata, rata saya berjalan di kawasan perumahan Panchor di Seremban (rumah ibu saya - tempat saya dibesarkan sejak darjah 1 lagi).

Kalau masuk je rumah yang bagi 20 sen, besar sangat rasanya. Kira kayalah tu. Normalnya 10 sen. Apatah lagi kalau bagi 50 sen. Tapi, cubalah kalau hari ni bagi 20 sen. Mahu dikutuknya kita lagi ada. Tapi yalah, manalah boleh kita nak samakan hari ni dengan 25 tahun yang lalu. Jauh bezanya. Taraf hidup pun dah jauh berbeza, manalah boleh nak dibandingkan dengan zaman 'facebook' yang dan teknologi yang kian berkembang ini. Zaman ni, kalau bagi RM1 pun ramai budak-budak yang marah. Mungkin mereka terlupa dengan konsep ikhlas dan kemampuan. Jangan pulak kita sampai membebankan diri kita, beri duit raya sehinggakan kita terlupa wang simpanan untuk keperluan keluarga di dalam mengharungi kehidupan seharian.

Kalau mampu beri banyak, berilah banyak, kalau sedikit saja yang mampu, sekadaran sahajalah, dan sekiranya tidak mampu, usahlah diberi. Kalau kita ini susah, memberi juga kerana nak mengikut orang, lebih baik tak usah. Tak ada faedahnya, mahupun pahala.
Tidak mengapalah bukannya saya ingin mengulas panjang pun kali ini, cumanya menerusi kesempatan ini, saya Syamsul Amri bin Hj Ismail, selaku Pengerusi MPP dengan ini mewakili diri saya dan ahli keluarga saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin. Sudi-sudikanlah datang ke rumah ya. Mudah-mudahan, menerusi usaha ini hubungan kita akan lebih mesra dan rapat lagi.

Sekian dan Wassalam.

Syamsul Amri bin Hj Ismail, Pengerusi MPP/KRT PRSP Paroi

Wednesday, August 3, 2011

Perutusan Khas Ramadhan - Oleh Pengerusi KRT PRSP Paroi

Menerusi perutusan saya kali ini, saya menitipkan bingkisan rasa untuk renungan semua...

ANDAI KAU TAHU INI RAMADHAN TERAKHIR

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir, tentu siangnya engkau sibuk berzikir, tentu engkau tak akan jemu melagukan syair rindu, mendayu..merayu...kepada-NYA Tuhan yang satu

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir, tentu solatmu kau kerjakan di awal waktu, solat yang dikerjakan...sungguh khusyuk lagi tawadhu', tubuh dan qalbu...bersatu memperhamba diri, menghadap Rabbul Jalil... menangisi kecurangan janji

"innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil 'alamin" [sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku... kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekalian alam]

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir, tidak akan kau sia siakan walau sesaat yang berlalu, setiap masa tak akan dibiarkan begitu saja, di setiap kesempatan juga masa yang terluang, alunan Al-Quran bakal kau dendang...bakal kau syairkan

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir, tentu malammu engkau sibukkan dengan bertarawih ... berqiamullail... bertahajjud... mengadu... merintih... meminta belas kasih, "sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MU tapi...aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU"
Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir, tentu dirimu tak akan melupakan mereka yang tersayang
mari kita meriahkan Ramadhan, kita buru...kita cari...suatu malam idaman yang lebih baik dari seribu bulan

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir, tentu engkau bakal menyediakan batin dan zahir
mempersiap diri...rohani dan jasmani, menanti-nanti jemputan Izrail, di kiri dan kanan ...lorong-lorong ridha Ar-Rahman

Duhai Ilahi....
Andai ini Ramadhan terakhir buat kami, jadikanlah ia Ramadhan paling bererti...paling berseri...
menerangi kegelapan hati kami, menyeru ke jalan menuju redha serta kasih sayangMu Ya Ilahi
semoga bakal mewarnai kehidupan kami di sana nanti

Namun teman...
tak akan ada manusia yang bakal mengetahui, apakah Ramadhan ini merupakan yang terakhir kali bagi dirinya, yang mampu bagi seorang hamba itu hanyalah berusaha...bersedia...meminta belas-NYA

Andai benar ini Ramadhan terakhir buat kita, MAAFKAN SEMUA KESALAHAN YANG PERNAH AKU LAKUKAN, "MARHABAN YAA RAMADHAN "

***************************************

"Maut datang menjemput tak pernah bersahut, Malaikat datang menuntut untuk merenggut, Manusia tak kuasa untuk berkata-kata, Allah Maha Kuasa atas syurga dan Neraka, Terimalah habuanmu seadanya.."

Disediakan oleh :






Syamsul Amri bin Hj Ismail


Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT)


Pangsapuri Rakyat Seri Perdana Paroi

Sunday, July 17, 2011

Pertandingan Bowling PRSP Paroi Meriah!

16 Julai 2011, Seremban : Pertandingan Bowling PRSP Paroi telah berlangsung dengan meriahnya bertempat di Ampang Bowl, Seremban Parade. Pertandingan ini telah berlangsung mulai jam 5.00 petang hingga ke jam 7.00 malam. Pertandingan ini telah berlangsung di dalam 3 kategori iaitu Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita dan juga Kategori VVIP.

Kategori VVIP disertai oleh Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail, Pengerusi KRT PRSP Paroi, En Daud Ahmad (Pegawai Perancang Bandar, MPS), Pn Linda (Isteri En Daud) dan En Halim Abu Bakar.

Begitupun berada di dalam Kategori VVIP ini tidak menghalang Sdr Syamsul meraih gelaran juara VVIP dan Keseluruhan dengan catatan jatuhan 515 jatuhan pin dalam 3 permainan.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada kejayaan Jawatankuasa KRT Pangsapuri Rakyat seri Perdana, Paroi di dalam menjayakan program ini. Berikut, dikongsikan gambar-gambar di sepanjang program ini berlangsung.Disediakan oleh : EDITOR

Sunday, July 10, 2011

MPP/KRT PRSP Paroi Sampaikan Bantuan Mangsa Kebakaran

ngsa 10 Julai 2011, Paroi : Majlis Permuafakatan Penduduk (MPP) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pangsapuri Rakyat Seri Perdana Paroi menerusi Ahli Jawatankuasanya mengambil inisiatif untuk membantu mangsa kebakaran di Kg. Sentosa bulan lalu dengan menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa kebakaran yang kini mendiami Blok D Pangsapuri Rakyat Seri Perdana, Paroi.

Sebanyak 2 keluarga yang terlibat di dalam tragedi yang telah meragut rumah kediaman kedua-dua keluarga ini.

MPP/ KRT telah mengambil keputusan menyumbangkan bantuan dapur gas, tong gas, periuk, serta barang-barang makanan mentah untuk kegunaan harian mangsa-mangsa kebakaran ini.

"Saya sedar bahawa bantuan kita ini tidaklah setinggi mana, cuma adalah diharapkan agar bantuan ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung keluarga ini. Kita juga faham yang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mengambil masa bagi menghulurkan bantuan, justeru kita membantu setakat yang kita mampu", ulas Sdr Syamsul Amri, Pengerusi MPP/KRT PRSP Paroi apabila ditanya mengenai sumbangan ini.

Sumbangan disampaikan kira-kira jam 10.00 malam sebaik sahaja selesai mesyuarat bulanan aktiviti MPP/KRT PRSP Paroi.

Berikut dikongsikan gambar-gambar yang telah sempat dirakamkan ketika penyerahan sumbangan berlangsung.


Sdr Syamsul dan sekelian Jawatankuasa menyampaikan sumbanganDi antara barang-barang keperluan yang disampaikanDapur Gas

Disediakan oleh : EDITOR