Friday, November 20, 2009

Perutusan Pengerusi Buat Semua Penduduk

Assalamualaikum dan Salam Satu Malaysia buat semua,
.
Diam tak diam kita kini telah memasuki fasa terakhir bagi tahun 2009. Dan di dalam fasa terakhir ini jugalah, Majlis Permuafakatan Penduduk (MPP) kini berhadapan dengan pelbagai cabaran yang dimomokkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab yang sentiasa berusaha memecahbelahkan perpaduan yang terbina di Pangsapuri Perdana ini sejak sekian lama.
.
Namun saya bersyukur. Kerana di atas ketabahan dan keteguhan setiap ahli Jawatankuasa di dalam MPP yang sentiasa memberi dorongan serta sokongan kepada setiap tindakan dan keputusan di dalam menjalankan aktiviti MPP yang sejak sekian lama diterajui oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di bawah naungan Jabatan Perpaduan dan juga MPP yang mendapat sokongan penuh daripada pihak Majlis Perbandaran Seremban. Malahan yang peling penting kami bersyukur di atas sokongan padu sekelian penduduk di atas kepimpinan MPP sejak daripada zaman JPP dan KRT lagi pada tahun 2005.
.
Bersyukur juga saya di atas usahasama serta kerjasama daripada UMNO Cawangan di dalam menghulurkan bantuan serta buah fikir ke arah menjayakan setiap aktiviti yang direncanakan oleh MPP. Justeru itu, UMNO telah menjadi rakan kongsi paling "rapat" bersama KRT di dalam MPP. Ada yang bertanya ke mana perginya Pertubuhan Ibu Tunggal dan ke mana hilangnya PKK KEMAS di dalam pakatan MPP? Setelah persetujuan memaktubkan bahawa PKK KEMAS berada di dalam MPP sejak 31 Disember 2008?
.
Begini ceritanya, setelah persetujuan dicapai pada 31 Disember 2008, itu telah dicatatkan sebagai salah satu peristiwa bersejarah di dalam Pangsapuri Rakyat Seri Perdana (PRSP) kerana KRT telah sanggup melupakan segala tohmahan serta fitnah yang pernah dihamburkan sejak sekian lama dek kerana perpaduan yang ingin dicapai. Tiada syarat yang diletakkan malahan, wakil daripada pertubuhan Ibu Tunggal, PKK KEMAS, UMNO, dan Kompang (JPP) bersetuju untuk melantik pengerusi KRT selaku Pengerusi Pakatan dan yang lainnya akan bertindak selaku Jawatankuasa. Dengan demikian Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) telah dibubarkan oleh KRT demi menjayakan hasrat ini maka sebagai gantinya, tertubuhlah Majlis Permuafakatan Penduduk (MPP).
.
Di dalam pakatan ini sepatutnya harus berlangsung sebagaimana yang dipersetujui bersama tanpa ada pihak yang sanggup membelakangi setiap pertubuhan yang bernaung di bawahnya.
.
PKK KEMAS
.
Belum pun lama bersama di dalam pertubuhan, PKK KEMAS (pada ketika itu) dikesan sanggup membawa cerita-cerita tidak baik dari dalam ruang mesyuarat ke luar. Malahan menyampaikan kepada orang ramai maklumat yang tidak tepat malahan boleh menimbulkan syak wasangka kepada pihak luar. Seluruh jawatankuasa diburukkan sedangkan di dalam mesyuarat wakil daripada KEMAS tidak pernah sama sekali bersuara malahan sama-sama bersetuju dengan setiap usul yang dicadangkan.
.
Sehinggalah ke saat ini, PKK KEMAS dikesan sentiasa mengadakan program dengan membelakangi MPP malahan meminggirkan program yang dijalankan oleh MPP. Misalannya, MPP mengadakan program Solat Tarawih berjemaah di surau tetapi tiada seorang pun wakil KEMAS yang menyertainya. Alasan yang diberi sibuk dan tidak sihat. Tetapi di waktu siangnya, bukti menunjukkan yang sipolan-sipolan itu sebenarnya sihal wal-afiat.
.
Kemudiannya, surau diminta untuk digunakan untuk ceramah agama dengan menjemput penceramah JASA. MPP telah bersetuju membenarkan. Malahan wakil KEMAS pun tahu yang kesemua ahli MPP bersetuju dan diminta untuk hadir bersama. Ketika itu berlaku sedikit salah faham sehingga kunci surau lewat tiba. Namun, kunci itu sempat tiba sebelum program bermula sebagaimana yang dijadualkan, maknanya kuncinya tidaklah lewat tiba. Tetapi, beberapa anggota PKK KEMAS mendakwa yang MPP sebenarnya tidak mahu memberi PKK KEMAS menggunakan Surau ini. Ini bukanlah semangat atau aspirasi yang kita inginkan di dalam persatuan. Perasaan syak wasangka serta berburuk sangka, memfitnah serta menjaja nama persatuan dalam keadaan yang tidak bermoral sememangnya satu sikap serta pendekatan yang tidak mungkin dapat kita ampunkan. Malahan, inilah penyakit yang mampu membinasakan apa-apa jua permuafakatan yang telah dibentuk.
.
Lebih menyesakkan lagi, PKK KEMAS ini juga kerap kali bertukar tunggak kepimpinan. Bermula dengan Azmi dan Yan selaku ketua, kemudiannya beralih kepimpinan dengan melantik Pn Samsiah Bahudin selaku Pengerusi dan dengan tidak semena-mena juga tiba-tiba bertukar lagi dengan Pn Norlaili pula memimpin PKK KEMAS yang mengakibatkan wakil PKK KEMAS di dalam MPP bertukar-tukar sebayak 3 kali dalam tempoh setahun.
.
Dari segi kewangan pula, PKK KEMAS mencari dana sendiri menerusi kutipan dan wang tersebut di masukkan dalam akaun peribadi yang dikongsi 3 nama. Ini bukanlah cara menyimpan wang persatuan. Ia sepatutnya didaftarkan dengan jelas dan menggunakan akaun PKK KEMAS PRSP Paroi dan bukannya akaun 'peribadi'. Ini bukan satu perkara yang sukar. Cuma perlu satu surat daripada KEMAS serta minit mesyuarat yang menamakan pemegang-pemegang amanah iaitu Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari serta wang deposit untuk membuka akaun. Ini telah saya nasihatkan ketika bermesyuarat pada bulan September 2009. Tetapi malangnya ini juga tidak diendahkan. Sedangkan isu ini merupakan satu kesalahan dari sudut undang-undang yang mana mereka sepatutnya hindarkan sebelum menjadi sebarang pertikaian dan isu.
.
Maka, di dalam mesyuarat bertarikh 26 Oktober 2009, MPP telah memutuskan bahawa PKK KEMAS bukan lagi gabungan secara langsung bersama MPP. Kerana, kita tidak mahu setiap permasalahan yang timbul akan membabitkan nama serta imej baik MPP. Namun demikian memandangkan PKK KEMAS berada di bawah naungan UMNO Cawangan PRSP Paroi, maka mereka sebenarnya tidak pernah 'hilang suara' di dalam MPP kerana mereka ada wakil di dalam UMNO untuk menyampaikan setiap masalah serta cadangan untuk diketengahkan. Malahan, MPP turut bersetuju untuk melibatkan PKK KEMAS di dalam setiap program yang ingin dilaksanakan. Maka tidak timbul soal PKK KEMAS dibuang kerana MPP juga tetap akan terlibat dalam setiap aktiviti PKK KEMAS jika sekiranya dijemput.
.
Selesai isu PKK KEMAS. Beralih pula kepada isu Persatuan Ibu Tunggal.
.
Persatuan Ibu Tunggal (PIT)
.
Ini, masalahnya cukup jelas. Kepimpinan PIT membuat keputusan serta tindakan dengan melihat baur-baur keuntungan serta faedah ekonomi yang baik cuma membuat pengasingan ketara dengan ibu-ibu tunggal yang ingin dibabitkan. PIT juga sentiasa membuat perubahan kepimpinan di dalam PIT. Antaranya, dahulunya di awal penubuhannya Samsiah Rais dilantik selaku Timbalan Pengerusi dan Pn Seti Maimunah selaku Setiausaha. Namun, setelah beberapa bulan, Pn Samsiah disingkir, Seti Maimunah juga disingkir dengan diganti dengan beberapa orang baru. Baiklah MPP mungkin boleh bersetuju dengan keputusan itu jika sebabnya jelas, munasabah serta konkrit.
.
Namun, apabila ditanya punca, tidak dapat dijawab. Malahan persoalan yang ditanya tadi telah mengundang emosi. Pada ketika itu mulalah tuduhan-tuduhan serta perkataan yang tidak sepatutnya malahan menimbulkan ketegangan. Ini juga bukan yang dimahukan MPP.
.
Saya turut mempersoalkan tentang wang RM 10 yang dikutip pada setiap Ibu Tunggal, malahan untuk apa? Siapa yang menyimpannya? Apa keperluannya? Persoalan bertubi-tubi ini mengakibatkan akhirnya Pengerusi PIT pada ketika itu meninggalkan mesyuarat maka membawa kepada kesimpulan TIDAK MAHU bertanggungjawab di atas tindakan yang telah diambil. Maka dengan demikian PIT turut dikeluarkan daripada MPP.
.
Namun, ini tidaklah bermakna nasib ibu tunggal akan dibiarkan begitu sahaja. Ini tidak benar, kerana MPP telah pun menyelaraskan keseluruhan Jawatankuasa mengikut Exco-Exco yang ditetapkan di mana nasib ibu tunggal, anak yatim, fakir miskin dan lain-lainnya diletakkan di bawah tanggungjawab Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan (EKK) sebagaimana yang dimaklumkan menerusi blog ini beberapa hari yang lalu. Malahan, EKK telah mengedarkan borang maklumat ibu tunggal untuk diisi bagi mengemaskini data-data ibu tunggal tanpa mengira latarbelakang agama, bangsa serta keturunan. Malahan juga tanpa mengira latarbelakang persatuan.
.
Maka dengan itu keadaan pengurusan Ibu Tunggal menjadi lebih baik. Malahan lebih teratur dengan pengawasan serta seliaan MPP.
.
KOMPANG JPP
.
Persatuan yang dianggotai sebilangan besar remaja ini telah dimansuhkan dengan mereka diletakkan sebagai anggota MPP di bawah Exco Belia dan Sukan. Dengan cara ini, isu dan masalah belia akan dibincangkan terus tanpa ditapis di pelbagai peringkat bagi mengelakkan isu suara mereka 'tidak didengar' timbul. Dengan kaedah ini mereka akan dapat lebih rapat dengan kepimpinan tertinggi serta diterima selaku pemimpin pewaris masa hadapan di dalam legasi MPP.
.
SURAU
.
Beberapa hari sebelum Ramadhan 1430 Hijrah iaitu pada bulan Ogos 2009, bilik KEMAS yang selama ini ibarat 'hidup segan, mati tak mau' kerana aktiviti yang seolah-olah bermusim malahan kerap kali dijadikan medan pergaduhan sesama sendiri di dalam PKK KEMAS telah diambil semula oleh pihak Majlis Perbandaran Seremban (MPS) kerana kegagalan membayar sewa bulanan. Malahan, disebabkan oleh Masjid Paroi yang masih di dalam pembinaan semula menjadi masjid baru mengakibatkan tiadanya tempat solat berjemaah yang berhampiran. Oleh yang demikian, bilik berkenaan telah dijadikan surau.
.
Perlu diingat ketika bilik berkenaan ingin dijadikan surau keadaan yang ditinggalkan oleh PKK KEMAS, tersangatlah dhaif nya sehingga menyebabkan ia kelihatan kurang sesuai dan selesa untuk dijadikan surau.
.
Di atas dasar itu, wang baki di dalam akaun KRT telah digunakan bagi menaiktaraf surau bagi menjadikan surau PRSP Paroi ini berwajah baru! Banyak wang telah dibelanjakan untuk memasang karpet, sejadah, kitab-kitab serta penghadang lelaki serta perempuan, kipas baru dan sebagainya didapatkan tanpa sebarang rasa kesal demi melihat masyarakat lebih mudah untuk beribadah. Wajah baru surau ini juga telah dipaparkan oleh EDITOR menerusi blog ini. Begitulah pengorbanan yang dilakukan oleh MPP demi masyarakat di sini.
.
Justeru saya berterima kasih kepada Saudara Meon yang begitu aktif mengetuai pimpinan Surau melalui program-program solat berjemaah, bacaan Yasin dan sebagainya. Begitu juga terima kasih buat Pak Long (En Suhadi Marsom) yang telah menjaga persekitaran serta melindungi kebersihan surau serta memastikan surau agar tidak disalahgunakan oleh pihak yang bertanggungjawab. Namun ini tidak pernah dihargai oleh sesetengah penduduk yang tidak mahu menggunakan kesempatan ini untuk beribadah. Terima kasih juga buat Y.Bhg Dato Ishak Awang yang menyumbangkan peralatan siaraya (PA System) untuk kegunaan surau ini serta sumbangan bantuan peralatan seperti sejadah dan kitab-kitab daripada Surau Taman Ampangan.
.
Apa yang paling dikesalkan, hamba Allah yang dahulunya beria-ia mencadangkan agar surau dibina di PRSP Paroi ini, batang hidungnya pun masih belum kelihatan semenjak surau ini siap untuk digunakan.
.
Jawatankuasa MPP melihat, biarlah surau ini menjadi lambang atau sinar "cahaya" buat penduduk di sini maka, dengan sebab inilah Surau ini dinamakan dengan nama "An-Nur" yang membawa maksud CAHAYA. Dan surau ini juga telah MPS pertanggungjawabkan kepada pihak MPP untuk menguruskannya dan dengan sebab itulah Surau An-Nur diletakkan sebagai pakatan di dalam MPP.
.
Dengan demikian, inilah permuafakatan yang adil serta mudah. KRT, Surau An-Nur dan UMNO. Ketiga-tiganya cukup untuk dijadikan medium penyatuan semua. Tetapi jikalau ini dakatakan sebagai sebab untuk berpecah maka silaplah. KRT tidak pernah memilih sesiapa di dalam aktivitinya, malahan surat jemputan aktiviti serta hebahan dibuat kepada seluruh blok. Surau An-Nur menjadi tempat ibadah seluruh umat Islam di PRSP Paroi tanpa pernah menyekat sesiapa, pintu surau sentiasa terbuka. Maka hadirlah beramai-ramai dengan ikhlas. Dan UMNO, sebagai lidah penyambung kepada pemimpin atasan malahan juga selaku penaung PKK KEMAS pastinya juga menjadi medan untuk bersama buat kesemua ahli PKK KEMAS serta ahli UMNO yang berdaftar di PRSP PAROI. Maka tidak timbul lagi soal perpecahan. Semua telah disatukan. Tetapi, jikalau masih ada penduduk yang melabelkan ini sebagai satu bentuk perpecahan, maka orang itu bolehlah kita labelkan sebagai 'buta hati', 'buta minda' serta 'anti perpaduan'.
.
Perlu diingat semenjak 2005 hingga ke hari ini. Masih lagi anggota MPP ini yang masih lagi bertahan melangsungkan aktiviti buat semua penduduk. Inilah yang perlu dicontohi semua pihak.
.
Dan jikalau sikap mengadu domba dan memfitnah ini diteruskan, sampai bila-bila pun, puak-puak ini akan menjadi beban serta penghalang kepada tercapainya matlamat penyatuan SATU MALAYSIA yang diimpi-impikan oleh kepimpinan perdana.
.
Akhirnya saya menyeru kepada semua agar bersatulah. Usahlah dilayan pemahaman pemikiran yang sempit. Perluaskan minda, bersatulah kita dan sokonglah setiap aktiviti yang dijalankan demi perpaduan rakyat dulu, kini dan selama-lamanya.
.
Mudah-mudahan kita berjaya.....
.

Syamsul Amri bin Hj Ismail
Pengerusi
Kawasan Rukun Tetangga (KRT)
Majlis Permuafakatan Penduduk (MPP)
Pangsapuri Rakyat Seri Perdana, Paroi

No comments: